Monday, 28 November 2016

pengenalan

KEPENTINGAN, PONTENSI DAN CABARAN PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN DIMALAYSIA

1.0 PENGENALAN
Pertanian didefinisikan sebagai suatu aktiviti yang melibatkan penternakan, bercucuk tanam, perikanan dan perhutanan. Ia merupakan kegiatan yang dijalankan dengan tujuan untuk menghasilkan sumber tenaga, bahan mentah industri, sumber makanan dan sebagainya. Aktiviti pertanian menghasilkan sumber makanan sayuran, buah-buahan, hasilan ternakan dan banyak lagi. Ia juga menjadi penyumbang kepada sumber tenaga seperti penghasilan kayu sebagai bahan bakar dan juga sebagai bahan mentah industri contohnya pembuatan perabot, kertas dan banyak lagi. Pertanian sebenarnya merangkumi pelbagai bidang dan teknik seperti cara meluaskan tanah untuk digunakan bagi bercucuk tanam, membina terusan serta saluran pengairan bagi mengalirkan air ke kawasan tanaman. Pada zaman sekarang, pertanian boleh dikategorikan sebagai pertanian mapan seperti permakulturan dan pertanian organik serta pertanian intensif iaitu pertanian perindustrian.
Perniagaan pula bermaksud satu bentuk organisasi yang sah serta diiktiraf untuk menyediakan barangan atau perkhidmatan atau kedua-duanya kepada pelanggan, perniagaan lain atau entiti-entiti kerajaan.
Perniagaan berasaskan pertanian bermaksud suatu proses perniagaan dimana urus niaganya hanya melibatkan pertanian semata-mata. Proses ini terjadi apabila seorang petani yang menjalankan aktiviti pertanian mempunyai lebihan hasil pertanian bagi menyara keluarganya, maka petani berkenaan bertindak menjual hasil pertaniannya kepada pemborong atau secara terus kepada pembeli. Maka, proses penjualan hasil pertanian berkenaan disebut sebagai proses jual beli ataupun perniagaan walaupun ianya secara kecil-kecilan. Dari penyebab berkenaan maka wujudlah proses yang dinamakan perniagaan berasakan pertanian.

2.0 KEPENTINGAN BIDANG PERTANIAN
Umum mengetahui bahawa bidang pertanian di Malaysia merupakan bidang yang paling ramai penglibatannya. Contoh yang dapat dilihat adalah di Cameron Highlands. Di sana aktiviti yang paling mendapat perhatian adalah pertanian seperti pertanian sayuran, buahan malahan teh juga turut ditanam di sana. Ini kerana cuaca dan keadaan tanah di sana sangat sesuai untuk penanaman buahan atau sayuran di mana benih buahan atau sayuran berkenaan diperoleh dari dalam negara mahupun luar negara. Namun berbeza pula di lain-lain negeri dalam Malaysia. Pertanian dianggap sebagai proses yang hanya boleh dilakukan bagi menampung perbelanjaan diri dan keluarga serta hanya dianggap sebagai hobi sahaja.
Pertanian sebenarnya mampu mendatangkan keuntungan jika ianya diusahakan secara serius. Dari segi ekonomi negara, pertanian memainkan peranan yang penting. Antaranya sebagai pengeluar bahan makanan, pengeluar bahan mentah, pendapatan eksport negara serta mewujudkan peluang pekerjaan.
2.1 Pengeluar Bahan Makanan
Salah satu kebaikan pertanian yang dijalankan di Malaysia adalah pertanian merupakan sektor pengeluar bahan makanan yang utama. Ianya mampu memenuhi keperluan bekalan bahan makanan dalam negara tanpa perlu mengimport bahan makanan dari negara luar. Apabila bahan makanan tidak diimport dari negara luar, bermakna kos important bahan makanan dapat dikurangkan dan kos berkenaan boleh digunakan bagi memajukan negara.
2.2 Pengeluar Bahan Mentah
Selain dari menjadi pengeluar bahan makanan yang utama, pertanian di Malaysia juga merupakan pengeluar bahan mentah. Pertanian bukan hanya melibatkan proses penanaman pokok renek bermula dari biji benih tetapi juga melibatkan proses penanaman pokok yang melibatkan penuaian hasil sepanjang masa seperti pokok getah, kelapa sawit, koko, kelapa dan sebagainya. Hasil tuaian dari pokok getah boleh diproses dan dijadikan tayar kenderaan manakala minyak masak diperoleh dari hasil pokok kelapa sawit. Produk coklat yang penduduk di Malaysia nikmati sekarang ini diperoleh dari hasil tuaian pokok koko manakala hasil yang diperoleh dari pokok kelapa pula adalah minyak dari buah kelapa, atap rumah dan hasil pertukangan dari daun kelapa.
Bahan mentah yang dihasilkan bukan sahaja digunakan untuk perindustrian dalam negara tetapi juga dieksport ke luar negara. Ini mampu menjana pendapatan negara dengan hasil eksport bahan mentah.
2.3 Pendapatan Eksport Negara
Apabila terdapat lebihan bahan makanan dan bahan mentah yang dihasilkan, maka proses eksport berlaku. Di sini dapat dilihat peningkatan pendapatan eksport negara meningkat. Selain itu, ia juga menjadi penanda aras yang menunjukkan bahawa Malaysia juga mampu menjadi sebuah negara pengeskport bahan makanan dan bahan mentah ke luar negara.
2.4 Mewujudkan Peluang Pekerjaan
Pertanian juga mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan. Apabila sektor pertanian merupakan sektor pengeluar utama negara, pasti banyak industri yang melibatkan pertanian memerlukan pekerja yang mahir.
2.5 Mampu Menjana Pendapatan Yang Besar
Bukan itu sahaja, yang lebih penting lagi ialah sektor ini mampu menjana pendapatan yang besar kepada negara dan petani. Seperti yang kita sedia maklum, iklim dan tanih yang sesuai mampu memberikan pulangan yang lumayan. Hasil tani yang dituai oleh petani kecil-kecilan dapatlah dijual kepada pemborong dengan harga yang berpatutan untuk dijadikan penyambung rezeki. Bagi tanaman komersial pula, negara akan menambahkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui pengeskportan tanaman seperti kelapa sawit dan lada hitam. Secara tidak langsung, pengaliran wang ke luar negara dapat dikurangkan, di samping menimbangi imbangan pembayaran negara melalui hasil eskport yang semakin bertambah. Ringkasnya, dengan adanya sinergi yang hebat, industri ini mampu menjadi penyumbang terbesar seperti suatu ketika dahulu.

3.0 POTENSI BIDANG PERTANIAN SEBAGAI PERNIAGAAN YANG MEN- GUNTUNGKAN
Pertanian merupakan tunggak asas kepada kehidupan manusia baik dari segi sumber makanan, kewangan mahupun ekonomi. Dengan adanya tanah untuk diusahakan, kerajinan dan usaha si peladang mahupun penternak, itu saja sudah cukup untuk memastikan bidang pertanian ini terus berkembang pesat. Situasi yang membolehkan sesuatu aktiviti pertanian itu bertukar menjadi satu perniagaan boleh terjadi apabila pengeluaran hasil pertanian pekebun atau penternak tadi bukan sahaja telah melebihi keperluan sara hidup diri, malahan telah dapat memberi keuntungan kepada pengusahanya. Jadi, mereka boleh menjual hasil tanaman dan ternakan mereka kepada orang ramai. Jika para peladang dan penternak ini bijak menguruskan wang, mereka boleh menjana wang dengan lebih banyak lagi dan sekali gus menaikkan lagi ekonomi Malaysia.
Bidang pertanian berpotensi sebagai perniagaan yang menguntungkan dan merupakan perkara yang menjadi asas pegangan petani atau sesiapa sahaja yang mengusahakan bidang pertanian itu sendiri. Bidang pertanian dilihat berpotensi tinggi untuk dibawa ke peringkat antarabangsa kerana hasil keluarannya mempunyai kualiti yang tinggi dan setanding dengan negara-negara pertanian yang lain. Malaysia juga mampu mengeksport hasil tanaman dalam kuantiti yang banyak kerana tanah di Malaysia sangat subur, luas dan sesuai untuk bidang pertanian.
Selain itu, bidang ini juga berpotensi mengeluarkan produk yang bermutu tinggi untuk dipasarkan di pasaran tempatan dan anatarbangsa. Untuk memenuhi permintaan pasaran, beberapa tindakan perlu dilakukan seperti pelabelan, penggredan dan pembungkusan bagi menepati piawaian-piawaian antarabangsa. Jabatan Pertanian sedang melaksanakan satu program iaitu Skim Akreditasi Ladang Malaysia (SALM) bagi menjamin kualiti hasil pengeluaran lading dan pemprosesan. Bidang ini akan dapat mengeluarkan produk yang bermutu tinggi jika program seperti ini dapat dilaksanakan dengan baik. Aspek-aspek kualiti dan keselamatan juga berpotensi membawa kepada keuntungan. Ia juga meberi jaminan pasaran tempatan dan luar negara di samping memperolehi harga yang lebih tinggi. Daya saing dalam pengeluaran akan dapat dipertingkatkan lagi jika semua pengusaha mengamalkan amalan dan pendekatan ini. Program kualiti juga perlu dilaksanakan oleh jabatan dan agensi yang telibat bagi memberi pemahaman kepada pengusaha. Hal ini dapat membantu meningkatkan potensi dan mengekalkan kualiti pengeluran barangan atau produk mereka.
Perubahan yang baru dalam bidang pertanian adalah amat penting bagi meningkatkan potensi bidang tersebut. Peranan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan adalah amat diperlukan bagi membangunkan bidang pertanian yang memerlukan tanah sama ada di darat dan di laut. Bidang kuasa yang telibat adalah Kerajaan Negeri di mana jika Jabatan Perikanan merancang untuk membangunkan Zon Industri Akuakultur sudah tentulah kawasan atau tempat tersebut di bawah seliaan Kerajaan Negeri yang terlibat. Kelancaran dan kejayaan projek ini amat bergantung kepada kelulusan dan syarat yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri.   
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama-sama jabatan dan agensi kerajaan di bawahnya perlu merancang dan melaksanakan program dan projek untuk meningkatkan potensi bidang pertanian. Ia mampu membawa kepada pengeluaran makanan dan memajukan kumpulan sasaran iaitu para petani dan pengusahanya. Oleh itu, pihak kerajaan perlu meletakkan pegawai yang mencukupi bagi membolehkan program dan projek pertanian dapat dijalankan dengan baik. Mereka perlu diletakkan di setiap peringkat daerah dan negeri mengikut kesesuaian dan bilangan petani yang ada. Hasil pertanian dapat dikekalkan dalam potensi yang baik jika ketua-ketua jabatan mengagihkan tenaga kerja dengan baik.

4.0 CABARAN DAN HALANGAN BIDANG PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN
Halangan atau cabaran bidang perniagaan berasaskan pertanian semakin mendapat perhatian daripada pelbagai pihak dewasa ini. Pertanian kini tidak mendapat sumber sekunder kepada pembangunan ekonomi negara lagi. Sektor ini giat dibangunkan, selaras dengan pembangunan negara. Malangnya,terdapat halangan yang menyekat pembangunan perniagaan berasaskan pertanian di negara kita. Kekurangan benih merupakan antara halangan yang melanda bidang pertanian. Kebanyakan anak benih kini diimport dari luar mahupun dalam negara. Hal ini sudah pasti akan menyebabkan kos pengeluaran akan meningkat.
Halangan yang lain dalam perniagaan berasaskan pertanian ialah usia petani yang sudah lanjut saban hari.Tenaga buruh dalam sektor pertanian rata-ratanya melebihi usia 55 tahun mengikut statistik yang diambil oleh jawatankuasa Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani. Keadaan ini berpunca daripada penghijrahan golongan belia yang ramai ke bandar-bandar besar atau di ibu kota untuk mencari peluang pekerjaan. Masalah ini juga berpunca daripada kurangnya minat sesetengah pihak terhadap sektor pertanian.Golongan belia berpendapat, bahawa pekerjaan dalam sektor pertanian hanya layak dilakukan oleh golongan yang sudah berusia ataupun sudah pencen.Bagi mereka,pertanian hanyalah satu bidang yang dijalankan untuk mengisi masa lapang.Mereka lebih senang menghabiskan masa dengan bekerja dalam sektor perkilangan, mahupun automotif dan sebagainya. (Noor Zalika Bt Mahmad Zuki, 2013)
Faktor bencana alam seperti banjir, kemarau dan tanah runtuh mempengaruhi jumlah pengeluaran semasa dan lebih teruk lagi pengusaha terpaksa menanggung kerugian yang besar akibat kemusnahan tanaman. Turut memetik kenyataan Pengarah Pertanian Terengganu, Encik Yusof Maidin kepada akhbar Sinar Harian online pada 3 Februari 2013, bencana banjir di Terengganu memusnahkan tanaman seluas 688 hektar dengan kerugian lebih RM1.7 juta, membabitkan lebih 12,000 petani. Tanaman paling banyak terjejas adalah padi meliputi kawasan seluas 275.5 hektar, diikuti tanaman kontan (149.82 hektar), sayur-sayuran (115.38 hektar) dan pokok buah-buahan (103 hektar). Selain tanaman, banjir itu turut memusnahkan peralatan dan mesin pemprosesan mengakibatkan kerugian RM42,000.00 kepada 10 pengusaha. Kekurangan modal juga merupakan cabaran dan halangan dalam membentuk perniagaan yang berasaskan pertanian. Mereka yang tinggal di kawasan kampung dan pedalaman sukar untuk mencari modal yang besar untuk membeli peralatan dan teknologi  yang lebih baik dan canggih. Jika mereka masih menggunakan peralatan dan teknologi yang lama, mereka akan jauh ketinggalan di belakang. Zaman sekarang merupakan zaman teknologi canggih di mana kebanyakan kerja dilakukan oleh mesin. Mesin akan melakukan kerja dari awal hingga selesai proses kerja tersebut. Sebagai contoh, mesin traktor digunakan untuk membajak sawah. Modal atau kos yang diperlukan untuk membelinya agak besar dan tidak semua petani mampu membelinya. Duit yang mereka perolehi terpaksa digunakan untuk tujuan yang lebih penting.
Serangan pelbagai penyakit juga menjadi masalah kronik atau halangan dalam bidang pertanian.Sesetengah petani menghabiskan masa yang banyak untuk memerangi serangan penyakit. Selain itu,kadar peningkatan kos pengeluaran sedikit sebanyak memberikan impak kepada bidang pertanian. Hal ini termasuklah kos pengangkutan,upah buruh,dan harga baja kimia.Kenaikan kos ini memberikan kesan kepada para petani.Selain itu,harga yang tidak stabil dalam pasaran juga merupakan masalah yang dihadapi oleh para petani.Jika dikaji secara mndalam, antara faktor ketidakstabilan harga berlaku ialah inflasi, lambakan barangan dalam pasaran,dan kemasukan barang eksport dalam kuantit yang banyak sehingga tidak terkawal.
(Wan Nur Nazirah, 2012)    
Saiz permukaan tanah yang terlalu kecil turut menjadi halangan dan menjejaskan perkembangan bidang pertanian. Hal ini demikian kerana tahap pengeluaran berkurangan.Faktor iklim juga menjadi halangan kepada perkembangan bidang pertanian.Tanaman yang tidak sesuai dengan iklim negara ini tidak dapat hidup dengan subur. Sebagaiman yang kita ketahui,negara kita menerima iklim hujan dan panas sepanjang tahun. Jika,mengalami musim panas seperti kemarau yang mengambil masa dua hingga tiga bulan sudah cukup untuk memberi kesan yang negatif hasil perniagaan berasaskan pertanian negara kita. Sesungguhnya,pelbagai langkah yang efektif harus diambil untuk mengatasi masalah yang dihadapi agar sektor pertanian dapat berkembang dengan pesat di negara ini. (Nik Yahya Ab. Rahman, 2009)



5.0 SOKONGAN DAN BANTUAN KERAJAAN KEPADA PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN
Tumpuan kerajaan kepada sektor pertanian bukanlah bersifat satu langkah ke belakang. Usaha ini dilihat sebagai salah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia dan seterusnya membantu menambah hasil pendapatan negara. Sejajar dengan ikrar kerajaan untuk membantu sektor pertanian peruntukan sebanyak RM5.8 bilion telah diberikan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Selain itu, sebanyak RM30 juta telah disediakn oleh  pihak kerajaan Malaysia untuk pembangunan program pertanian yang juga melibatkan penggunaan aplikasi yang berteknologi tinggi bagi penghasilan buah-buah dan sayur-sayuran, pembekalan benih berkualiti, harga yang stabil dimana ia melalui jualan terus dari ladang serta penambahbaikan institusi Latihan pertanian. Malah sebanyak RM75 juta turut disediakan oleh phak kerajaan bagi meningkatkan pengeluaran produk samada makanan dan kesihatan. Bantuan utama kepada para petani pula adalah tertumpu kepada pengurangan kos pengeluaran pula maka kerajaan meneruskan pemberian subsidi dan insentif pertanian yang ada berjumlah RM2.4 bilion.
Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani Malaysia (MOA) melalui portal rasminya ada menyatakan diantara pihak yang turut membantu mewakili pihak Kerajaan adalah seperti pihak Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani  yang sentiasa menyokong proses untuk mentransformasi sektor pertanian secara lebih terancang, bersepadu dan menyeluruh berteraskan pengemblengan pemikiran dan juga tenaga organisasi bagi mencapai matlamatnya. Sektor pertanian yang merupakan salah satu penyumbang didalam ekonomi Malaysia melalui perniagaan, antara bentuk bantuan yang diberikan ialah dari segi pendidikan seperti Program Latihan Kemahiran Pertanian Malaysia yang tujuan untuk menggalakkan generasi muda melibatkan diri dan bergiat aktif dalam bidang pertanian dan menjadikan ia sebagai pekerja yang mahir serta pengusaha bagi sektor pertanian yang bertaraf komersil dan berskala besar melalui teknologi yang terkini. Disamping itu, bantuan juga turut diberikan turut kepada pemberian subsidi pada sektor padi khusus kepada harga padi, baja padi, harga beras, benih padi serta beberapa insentif lain seperti peningkatan hasil padi, pengeluaran padi. Pemberian bantuan dari kerajaan adalah bagi memastikan ianya dapat meringankan beban pengusaha terutama pada sektor pertanian.
Lembaga Pertubuhan Peladang juga memainkan peranan yang sama penting bagi membantu mempertingkatkan ekonomi dan sosial masyarakat tani dibawah satu badan berperanan khusus. Objektif penubuhan PP adalah untuk meningkatkan taraf ekonomi dan sosial, menambah pengetahuan dan kemahiran, meninggikan hasil dan pendapatan dan membaiki cara hidup ahli-ahli serta mewujudkan masyarakat peladang yang progresif, berdikari, makmur dan bersepadu. Di antara peranannya adalah untuk meningkatkan daya pengeluaran peladang menerusi penyediaan perkhidmatan, meningkatkan pertumbuhan sector pertanian yang pesat menerusi usaha penyusunan semula pertanian. Di samping itu, Lembaga Pertubuhan Peladang berperanan untuk meningkatkan bidang perniagaan dan pertumbuhan pelaburan dalam bidang pertanian,meningkatkan taraf sosioekonomi dan kualiti penghidupan peladang dan mengimbangi pembangunan perusahaan asas tani di kawasan luar bandar.
Perniagaan di Malaysia. Perniagaan kecil di Malaysia telah meningkatkan jumlah peluang pekerjaan dan pembangunan usahawan. Di sini, jelas bahawa perniagaan bersaiz kecil dan sederhana amat penting dalam menyumbang terhadap pembangunan negara. Aliran pertumbuhan ekonomi di Malaysia telah menggalakkan pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS), walau bagaimanapun wujud ketidakseimbangan dalam pegangan ekonomi antara kaum di Malaysia. Penduduk bukan Bumiputera telah menguasai sektor ekonomi, dan matlamat Dasar Ekonomi Baru gagal dicapai sepenuhnya. Walau bagaimanapun, hasil usaha kerajaan bersama dengan agensi sokongan kerajaan, pengagihan pendapatan keseluruhan di kalangan isi rumah di Malaysia telah bertambah baik dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-11. (Noor Azilawati Mohd Sabda, 2009)
Pihak kerajaan juga telah melakukan berbagai usaha ke arah memupuk dan mengembangkan asas keusahawanan di kalangan bumiputera bagi melahirkan usahawan yang berdaya maju dan berdaya tahan. Antaranya melalui penglibatan mereka secara langsung dan aktif dalam dunia perniagaan berasakan pertanian. Pelbagai agensi telah disediakan untuk membantu usahawan Bumiputera. Banyak tabung yang bertujuan khusus untuk membangunkan usahawan bumiputera telah ditubuhkan. Antaranya ialah Tabung Usahawan Baru, Tabung Industri Bumiputera, dan Tabung Usahawan Kecil yang semuanya bertujuan membantu usahawan kecil dan sederhana.
Salah satu kementrian yang berfungsi untuk membangunkan usahawan Bumiputera dalam sektor pertanian ialah Kementrian Pembangunan Usahawan. Kementerian ini bukan sahaja ingin membangunkan usahawan bumiputera tetapi ingin melahirkan usahawan yang berkualiti, berpotensi serta berupaya membentuk masyarakat Perdagangan dan Perindustrian (MPP) seperti yang dihasratkan dalam Wawasan 2020. (Nurul ‘Ula Noor’Aaisa, 2011)
Dipetik dari portal Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), badan ini juga turut membantu dan ia merupakan sebuah agensi pemasaran dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, FAMA berperanan besar didalam pemasaran produk agromakanan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan produk-produk Industri asas taniyang lain. Selain itu juga, FAMA juga bertanggungjawab  didalam pemasaran hasil produk dan meningkatkan pendapatan pengeluar serta memastikan produk pertanian industri asas tani tersedia dan boleh diperolehi pada harga mampu dibayar pengguna.
FAMA juga mempunyai satu pelan strategik jangka panjang bagi meningkatkan dan meluaskan pasaran produk pertanian serta memacu transformasi pemasaran iaitu:
  • Peningkatan bekalan hasil pertanian
  • Peningkatan akses pasaran
  • Peningkatan bilangan usahawan tani agromakanan
  • Penjanaan pendapatan kumpulan sasar bagi kalangan petani dan juga usahawan petani
  • Peningkatan kecekapan khidmat pemasaran



KESIMPULAN
Kesimpulanya, negara seperti Amerika Syarikat, Australia dan beberapa negara maju lain, golongan petani dipandang tinggi kerana mereka tergolong dalam golongan mereka yang kaya raya.  Situasi ini mungkin boleh berlaku di negara kita. Negara kita Malaysia mempunyai tanah yang subur, bebas daripada bencana alam atau keadaan huru-hara yang boleh memusnahkan sebarang kegiatan ekonomi. Jika kelebihan ini tidak dimanfaatkan, bermakna kita telah mensia-siakan anugerah sumber perniagaan yang ada.
Melalui strategi-strategi yang telah disusun oleh kerajaan demi untuk membantu masyarakat tani di Malaysia, ‘Pertanian adalah perniagaan’ sudah pasti akan dapat dilaksanakan sekiranya kita sama-sama mencari jalan untuk memperhebatkan bidang pertanian dengan cara menjadikannya sebagai salah satu sumber pendapatan kita. Marilah mula berbudi kepada tanah!
Nahtijahnya, perniagaan berasaskan pertanian ini perlu mengalami revolusi supaya sektor pertanian ini berprestij kepada generasi muda.  Pembangunan sektor dapat mengurangkan import makanan dari luar negeri dan dapat mengelakkan penduduk kampung berhijrah ke bandar. Tampaknya, perkembangan pertanian mengundang seribu satu kebaikan kepada negara kita. Masyarakat kita juga perlu menyedari sumbangan,  jasa dan pengorbanan kaum petani kita. Sebaliknya kaum petani kita perlu mengalami transformasi untuk menjanakan 1 Malaysia.